Sunday, January 28, 2018

Surat cinta

Sudah 2 jam berlalu, tetapi mata dan tangan masih melekat di skrin laptop dan akhirnya saya membuat keputusan menulis surat maya buat saudara yang selalu lekat di hati.

Saudara,

Bagaimana angin 28 januari bertiup? Masih kencang atau sudah lembut membelai pipi? Bagaimana awan 28 januari berarak? Masih mendung atau sudah cerah dibias mentari? Dan bagaimana senyuman pada 28 januari? Masih suram atau sudah berseri?

22 tahun, dua dekad suku, dua dasawarsa, suku abad atau apa sahaja istilah masa yang mahu saudara gunakan, saya harap saudara telah mendapat sesuatu yang berharga iaitu pengalaman. Pengalaman yang saudara akan gunakan buat tahun-tahun mendatang.

Saudara,

Tidak perlu gambar untuk membayangkan wajah saudara kerna saudara paling jelas di hati. Tidak perlu juga buku manual, kompas, penunjuk arah, menara api atau peta kerna saudara tidak pernah hilang di hati. Tidak perlu pilihan kerna hanya ada satu jawapan.

Semoga jejaka yang degil menjadikan kedegilan itu satu kekuatan. Semoga seorang jejaka yang ego menjadikan kegoan itu satu pengajaran. Semoga seorang jejaka yang sering sakit menjadikan itu satu keinsafan.

Semoga sentiasa dalam lindungan Tuhan, semoga hilang segala kesengsaraan, semoga sentiasa bahagia dan membahagiakan. Apa juga ayat yang menggunakan perkataan "semoga", asalkan ia memberikan makna yang baik, saya tujukan buat saudara.

Saudara, 

Saya ingin mengucapkan selamat berjaya dalam kehidupan, semoga tercapai segala cita cita yang saudara impikan. Semoga, kejayaan saudara yang akan datang masih ada saya di samping saudara untuk kita tempuhi dan meraikannya bersama-sama. 





cc : braderleplep

No comments:

Post a Comment